Syarikat Milik Bumiputera
Bagaimana satu lagi keunikan yang jarang terdapat di bandar-bandar lain, apabila orang Melayu berupaya menjalankan perniagaan yang berskala besar. Ada pasar raya yang dimiliki orang Melayu / Islam termasuk Pasar Borong Mydin, Addin Ria, Jaffar Rawas, Salem Tekstil, Syarikat Muda Osman dan lain-lain.

Kemampuan orang Melayu di Kota Bharu juga dapat dilihat apabila mereka menguasai sepenuhnya industri batik. Di Kota bharu ada banyak syarikat batik yang bertaraf korporat antaranya Razali Batik, Nordin Batik, Cik Minah Songket dan banyak lagi. Industri songket dan batik di kota Bharu tertumpu di Jalan Pantai Cahaya Bulan dan Kampung Sireh.

Perniagaan
Manakala dalam bidang perhotelan, orang Melayu juga memiliki perniagaan tersebut antaranya Hotel New Pacific, Hotel Sutera, Saffar Inn, Hotel Temenggong, Juita Inn, Hotel Nora dan banyak lagi.

Kedai-kedai menjual barangan kemas juga masih lagi menjadi dominan kepada orang Melayu. Kedai-kedai emas yang tersohor di Kota Bharu antaranya Mohammad Yusof, S Wan dan Wan Hussin

Orang Melayu juga menguasai perniagaan kenderaan yang kebiasaannya kalau di bandar lain di negara ini dimiliki bukan Bumiputera. Syarikat kenderaan terpakai banyak terdapat di Jalan Long Yunus, Jalan Kuala Krai, Jalan Sultan Ibrahim dan Jalan Sultan Yahya Petra. Syarikat Aman Motor, Pusat Service Ford, Aman Razak, Yamud adalah perniagaan besar milik Bumiputera yang terdapat di kota Bharu.

Di Kota Bharu juga terdapat dua zon perindustrian iaitu di Pengkalan Chepa dan Lundang. Sebahagian besar kilang yang beroperasi dimiliki bukan Bumiputera dan pelabur asing. Bagaimanapun masih ada orang Melayu yang mempunyai kilang sendiri antaranya, Umi, Episode Lagenda dan Ikan linang Best yang memproses ubat-ubatan tradisional di Jalan Padang Tembak.

Bagaimanapun orang Cina masih menguasai sebahagian besar perniagaan di pusat Bandar Kota Bharu. Mereka menyewa premis perniagaan milik orang Melayu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan ada juga wisma yang dimiliki bukan orang Melayu.

Orang India pula tidak terserlah bidang kerjaya mereka di sini. Namun ada juga di kalangan mereka mempunyai gedung perniagaan yang besar seperti terdapat di Jalan Tok Hakim. Sebahagian yang lain berkhidmat dengan agensi kerajaan dan pihak swasta.