Jalan ini bersambung dengan Jalan Sultan dan menghala ke sebelah hulu bandar Kota Bharu dari persimpangan Jalan Tok Hakim hingga ke persimpangan Jalan Gajah Mati. Nama Seri Maharaja ialah sempena gelaran yang disandang oleh Tuan Mahmud atau Tuan Long Mahmud bin Long Kundor. Baginda dikenali juga dengan panggilan Seri Maharaja Tua. Jalan Seri Maharaja ini sekarang sebahagian daripada Jalan Sultanah Zainab.

Jalan ini terletak di hadapan Istana Balai Besai iaitu bersambung dengan Jalan Kubang Pasu di sebelah hilir dan menghala ke persimpangan Jalan Tok Hakim. Nama jalan ini mengambil sempena nama Sultan, gelaran raja pemerintah negeri Kelantan. Sekarang Jalan Sultan ini menjadi sebahagian dari Jalan Sultanah Zainab.

Jalan ini bermula dari Pasar Kubang Pasu (Kampung Kubang Pasu) bersambung dengan Jalan Merbau dan menghala ke Masjid Muhammadi (Masjid Besar Kota Bharu). Nama Kubang Pasu itu asalnya daripada sebuah kubang (kolam) yang luas dan hitam airnya. Kononnya di dalam kubang atau kolam itu ada sebuah pasu besar berwarna kuning keemasan dan diwaktu hujan panas pasu itu timbul terapung-apung di permukaan air. Jadi bersempena dengan kubang dan pasu itulah nama Kubang Pasu diambil dan diabadikan kepada nama sebatang jalan.

Jalan ini bermula dari bucu Jalan Kebun Sultan berhadapan dengan Istana Seri Cemerlang (telah diroboh dalam tahun 1963 Masihi). Istana Seri Cemerlang ialah bekas istana Sultan Ibrahim (1944-1961 Masihi). Jalan Pintu Pong ini menghala terus ke belakang Istana Balai Besar. Nama Pintu Pong itu diambil dari sebuah pintu buluh iaitu pintu sebuah kandang di mana disimpan atau dipelihara (dibela) gajah-gajah kepunyaan Sultan Muhamad IV. Dikatakan di musim kemarau kerapkali buluh pintu itu pecah dengan mengeluarkan bunyi "pong" lalu diambil sempena bunyi itu diabadikan kepada nama jalan itu. Jalan Pintu Pong ini melintasi sebuah parit yang dalam dan di zaman lampau merupakan pintu belakang kawasan "Buluh Kubu" atau "Dalam Kubu".

Jalan ini memanjang ke sebelah timur dari pasar Kubang Pasu (Kampung Kubang Pasu hingga ke Jalan Kebun Sultan dan ke sebelah timur pula bertemu dengan Jalan Atas Banggol). Nama Jalan Merbau ini adalah dari sepohon pokok merbau yang besar tumbuh di bucu Jalan Merbau dengan Jalan Kebun Sultan iaitu di belakang Sekolah Maahad Muhammadi (sebelum tahun 1950 Masihi sekolah itu dipanggil Sekolah Arab Jame' Merbau). Pokok merbau yang besar itu telah ditebang pada akhir tahun lima puluhan.