Apabila disebut kehidupan masyarakat di kelantan terutamanya Kota Bharu, orang sering mengaitkan dengan keunikannya yang tersendiri. Benarkah apa yang diperkatakan itu atau sekadar gimik politik. Sebenarnya apa yang heboh itu bukan omongan tanpa asas. Sebelum diperjelaskan keunikan dimaksudkan, ada baiknya diketengahkan latar belakang geografi negeri Kelantan dan Kota Bharu sebagai ibu negeri. Mengikut Jabatan Ukur dan Pemetaan jumlah keluasan Kelantan ialah 15,022 km persegi, di mana Kota Bharu 384 km persegi adalah jajahan ketiga terkecil.

Keunikan Masyarakat
Biar pun penduduk Kelantan terkenal kerana mengambil berat soal agama, namun mereka tidak 'kekok' bertandang ke restoran dimiliki bukan Islam. Mereka seolah-olah tidak lagi meragui soal halal dan haram. Di restoran berkenaan taukehnya orang Cina, tetapi nasi dijual orang Melayu. Pekerja yang membacuh air juga Melayu.

Restoran seperti itu banyak terdapat di bandar Kota bharu termasuk di Jalan Dato' Pati iaitu 'Restoran Hoover' atau Jalan Sultan Ibrahim, yang menjadi tempat tumpuan ramai lelaki berkopiah. Sedangkan keunikan itu tidak terdapat di bandar besar lain negara ini.

Penduduk
Biar pun orang Melayu menjadi dominan dengan purata sekitar 94.10 peratus daripada 1.5 juta orang penduduk Kelantan sekarang, namun kehidupan kaum minoriti tidak pernah disisihkan. Pendudukan Cina membentuk sekitar 4.60 peratus, India (0.50 peratus) dan lain-lain - 1.80 peratus (kebanyakan Siam).

Di Kota Bharu sahaja bilangan penduduk mencukupi 26 peratus daripada jumlah penduduk Kelantan. Taburan penduduk Melayu tinggal di merata tempat di Kelantan. Penduduk minoriti kaum Cina ramai tinggal di bandar besar terutamanya Kota Bharu.

Terdapat juga sedikit kaum India dan Sikh yang tinggal di kawasan bandar. Tumpuan utama kaum India di Kelantan iaitu di ladang Kerla di Tanah Merah dan ladang Lapan Kabu di Pahi, Kuala Krai.

Penduduk Siam Lebih Tertumpu di Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh. Manakala kaum Orang Asli tinggal di pendalaman Gua Musang dan Jeli. Penduduk Cina lebih ramai tinggal di Kota bharu kerana perniagaan menjadi kelaziman bagi masyarakat tersebut.

Sosial
Mengikut Amanah Iktiar Malaysia 2001 bilangan ketua isi rumah miskin di Kelantan berjumlah 17,569 orang dan 2,470 daripadanya tinggal di Kota bharu. Ini menggambarkan masih terdapat ramai keluarga yang mempunyai pendapatan di bawah paras miskin di ibu negeri.

Sebahagian besar mereka berdepan dengan masalah kesihatan, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bilangan anggota keluarga yang ramai. Kumpulan ini kebiasaannya tinggal di pinggir bandar.

Bagaimanapun masih terdapat keluarga miskin yang mendiri atau menyewa rumah di atas tanah milik kerajaan. Kalau sebelum ini terdapat ramai penduduk tinggal di atas rumah rakit di Sungai Kelantan, bagaimanapun sekarang mereka dipindahkan ke Taman Kurnia Jaya di Pengkalan Chepa, melalui skim perumahan rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri dengan kerjasama pihak swasta.

Bilangan penduduk setinggan di Kota Bharu juga tidak ramai sekarang memandangkan mereka mendapat manfaat daripada projek perumahan yang disediakan kerajaan dan swasta. Kerajaan negeri juga menyediakan perumahan transit kepada penduduk rumah awam kos rendah di Panji yang dipindahkan dari Jalan Hamzah.

Rakyat miskin di Kelantan juga masih berpeluang memiliki rumah sendiri melalui projek yang dijalankan kerajaan negeri dengan kerjasama swasta. Harga yang ditawarkan di bawah RM35,000 mampu dibeli dan bayaran bulanan boleh dilunas oleh anak-anak mereka.

Dari aspek kemudahan asa di bandar Kota Bharu sekarang sudah dianggap memiliki prasarana yang setanding dengan bandar-bandar lain. Malah kemudahan gedung perniagaan besar mengatasi tempat lain termasuk Kuantan, Kuala Terengganu, Alor Setar dan kangar.

Sumber
Che Gayah Jaafar, Nazman Yusuff, Nik Hassan Suhaimi, Khairiah Mohamad, Zaimah Muhammad dan Ramli Yamat (2005). Kota Bharu Bandar Raya Islam. Kota Bharu: Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam.

Bandar Kota Bharu telah ditubuhkan pada tahun 1844 dan diisytiharkan sebagai pusat pemerintahan Negeri Kelantan oleh Kebawah Duli Yang Mulia Al-Marhum Sultan Muhammad Ke-II. Kota Bharu adalah sebuah bandar di Malaysia yang berfungsi sebagai ibu negeri dan bandar di raja Kelantan. Ia juga adalah nama wilayah (jajahan) di mana Kota Bharu Bandaraya Islam. Dalam kata lain nama Kota Bharu bermaksud 'bandar baru' atau 'istana/kubu baru'. Kota Bharu terletak di bahagian timur laut Semenanjung Malaysia, dan terletak berhampiran muara Sungai Kelantan iaitu berhampiran dengan sempadan Thailand.

Kota Bharu adalah pusat bagi masjid, pelbagai muzium, seni bina yang unik istana lama diraja (masih diduduki oleh sultan dan sultanah yang dihadkan kepada masyarakat) dan bekas bangunan diraja (yang boleh dikunjungi) dalam pusat bandar. Keluasan Bandar Kota Bharu adalah 115.64 km persegi dengan jumlah penduduk melebihi 300 ribu orang.

Lokasi Pusat Internet 1Malaysia Buluh Kubu
Pusat Internet 1Malaysia buluh Kubu terletak di pusat bandar Kota Bharu berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab II, di mana bangunan sewaannya bersebelahan dengan pejabat urusan dan galeri Atie Natasha iaitu di Jalan Belakang Istana. Jarak Pusat Internet 1Malaysia Buluh Kubu dari stesen bas Kota Bharu ialah 1.2 kilometer, dari Pasar Besar Siti Khadijah ialah 650 meter, dari Masjid Muhammadi ialah 590 meter dan dari Kota Bharu Mall ialah kira-kira 2.30 kilometer. Antara jalan-jalan utama yang menghubungi Pusat Internet 1Malaysia Buluh Kubu ini dengan kawasan sekitar ialah Jalan Merbau, Jalan Tok Semian, Jalan Tengku Puteri, jalan Kelochor dan Jalan belakang Istana.

Kawasan sekitar atau berdekatan dengan Pusat Internet 1Malaysia Buluh Kubu
1. Kubang Pasu
2. Kelochor
3. Kebun Sultan
4. Merbau
5. Atas Banggol
6. Jalan Post Office Lama
7. Paya Purnama
8. Kampung Sultan
9. Kampung Pak Nik Ya
10. Kampung Sungai Budur
11. Kampung Raja Seksyen Dua
12. Kampung Cina
13. Kampung Wakaf Mek Zainab
14. Taman Perbandaran Tengku Anis
15. Kampung Padang Bongor
16. Kampung Penambang
17. Kampung Tanjung Chat
18. Kampung Pereput
19. Kampung Gayung