Sejak terdirinya Istana Balai Besar di Buluh Kubu dalam tahun 1844 Masihi, rakyat mula membuat rumah-rumah kediaman dan kampung halaman mereka masing-masing di sebelah hilir dan hulu kawasan Buluh Kubu atau Dalam Kubu, sehingga lama-kelamaan menjadi perkampungan yang besar. Di zaman permulaannya, Kota Bharu merupakan sebuah bandar yang kecil lagi sempit kawasannya, mungkin didiami oleh antara 3000-5000 orang sahaja. Kawasan penting dan yang agak penuh sesak didiami orang pada zaman permulaannya ialah kawasan hilir bandar Kota Bharu yang lebih dikenali dengan nama Kampung Masjid dan Kubang Pasu atau Balik hilir dan kawasan hulu yang meliputi Jalan Haji Cik Su (Kampung Gajah Mati) dan Jalan Tok Hakim sekarang ini. Pusat perniagaan dan pasar Kota Bharu mula-mulanya terletak di kawasan tepi Sungai Kelantan kira-kira di sekitar Taman Sekebun Bunga sekarang ini (di sebelah hilir panggung Lido sekarang). Di luar kawasan-kawasan yang tersebut itu pada masa itu ialah tanah belukar dan padang.