Di zaman pemerintahan Sultan Ismail ibni Sultan Muhamad IV (1920-1944 Masihi) bandar Kota Bharu banyak lagi mengalami perubahan. Di antara peristiwa penting yang telah berlaku ialah pembinaan Masjid Besar Kota Bharu, penggunaan api elektrik, pembinaan Hospital Besar yang baharu, pembinaan Pasar Kubang Pasu dan penggunaan air paip (bekalan air paip).

Pada tahun 1929 Masihi Hospital Besar Kota Bharu mula dibina di satu kawasan di Kampung Padang Garong (tempat sekarang ini). Pada masa itu Hospital Besar Kota Bharu yang dikenali sebagai Hospital Umum Kota Bharu adalah terletak di satu kawasan berhadapan dengan Pejabat Tanah dan Pejabat Jajahan Kota Bharu sekarang.

Pada tahun 1932 Masihi pula bekalan air paip mula digunakan orang di dalam bandar Kota Bharu. Sebelum daripada tahun itu penduduk-penduduk bandar Kota Bharu menggunakan air dari perigi atau telaga masing-masing ataupun dari Sungai Kelantan bagi mereka yang tinggal berhampiran dengan tebing Sungai Kelantan.

Di zaman pemerintahan Tentera Jepun dan Tentera Siam di antara tahun 1941 hingga tahun 1945 Masihi bandar Kota Bharu tiada mengalami banyak perubahan tetapi walau bagaimanapun ia terus berkembang.

Pada tahun 1934 Masihi, semua tanah dalam kawasan "Buluh Kubu" atau "Dalam Kubu" telah dijadikan sebagai "Tanah Sultan" atau "Sultanate Lands". Mengikut 'Enactment No. 5 of 1934: The Sultanate Lands Enactment' semua tanah di dalam kawasan Buluh Kubu berserta dengan hasil mahsul dan keuntungan daripadanya adalah terletak di bawah dan menjadi harta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan. Dengan itu maka Istana Balai Besar serta dengan tanah-tanah di dalam kawasan Buluh Kubu manjadi hak pemerintah (Sultan) daripada seorang Sultan kepada seorang Sultan yang lain sampai sekarang.

Sejak dari tahun 1945 Masihi bandar Kota Bharu telah banyak bertukar rupa. Tentu ramai di antara rakyat Kelantan khususnya penduduk bandar Kota Bharu dan terutama sekali generasi muda tidak tahu tempat-tempat lama yang terkenal yang tiada lagi pada masa sekarang ini.

Sejak 25 tahun yang lalu bandar Kota Bharu yang ada sekarang ini telah mengalami banyak perubahan. Tetapi perubahan pesat berlaku hanya setelah tahun 1970 Masihi. Bukan saja kawasan bandar Kota Bharu telah menjadi semakin bertambah luas dari kawasan asalnya, bahkan juga jalan-jalan raya, bangunan-bangunan dan rupanya pun sudah banyak berubah dari zaman sebelum tahun 1941 Masihi dahulu.

Pada masa sekarang bandar Kota Bharu berpendudukan seramai kira-kira 300 ribu orang. Walaupun telah tumbuh menjadi sebuah bandar dengan bangunan-bangunan moden dan lain-lain unsur kemodenan, namun Kota Bharu pada mulanya lebih merupakan pertumbuhan dan perkembangan masyarakat kampung Melayu Kelantan. Kebanyakan rumah-rumah lama di dalam bandar Kota Bharu adalah rumah-rumah bentuk Melayu dan kepunyaan orang-orang Melayu Kelantan. Begitu juga jalan-jalan rayanya masih mencerminkan ciri kemelayuan. Di masa-masa lampau, kira-kira 30 tahun dahulu 90 peratus penduduk bandar Kota Bharu adalah terdiri dari orang-orang Melayu Kelantan. Bahkan pada masa 10 tahun dahulu 90 peratus penduduk bandar Kota Bharu masih lagi terdiri dari orang-orang Melayu Kelantan. Baki 10 peratus lagi itu adalah kebanyakannya orang-orang Cina bertutur loghat Kelantan serta juga kebanyakannya hidup seperti orang-orang Melayu Kelantan.

Bandar Kota Bharu juga adalah pusat seluruh kegiatan orang-orang Melayu Kelantan yang sudah terkenal kerajinan dan kegigihan mereka dalam mencari kehidupan. Kegiatan dan kegigihan itu tidak saja terhad kepada kaum lelaki bahkan kaum perempuan Melayu Kelantan juga. Di sinilah terletaknya satu-satu keistimewaan orang-orang Melayu Kelantan. Kaum perempuan Melayu Kelantan baik di bandar-bandar mahupun di kampung-kampung adalah sama giat, bahkan kadangkala lebih giat lagi daripada kaum lelaki, khususnya dalam bidang perniagaan. Pasar Besar Kota Bharu dan di lain-lain bandar di Kelantan adalah didominasi oleh kaum perempuan Melayu dan hal ini tidak terdapat atau berlaku di tempat-tempat lain di Malaysia, kecuali di negeri Terengganu.

Pada 16 Julai 1975 Masihi YAB Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan pembukaan Pesta Kebudayaan dan Perdagangan Kelantan di Padang Datuk Perdana, Kota Bharu. Pesta tersebut diadakan kerana mengambil sempena sambutan ulang tahun ke-131 bandar Kota Bharu. Pesta yang berlangsung selama dua minggu dari 16 hingga 31 Julai itu telah dirasmikan pembukaannya dalam suasana penuh meriah mengikut tradisi dan adat istiadat Melayu Kelantan.

Tujuan mengadakan pesta tersebut ialah untuk mengingati sejarah bandar Kota Bharu yang meningkat ke-131 tahun; menarik perhatian badan-badan swasta, dan orang-orang perseorangan supaya mempergiatkan lagi usaha-usaha di bidang ekonomi, kebudayaan dan pembangunan terutama bila siapnya lebuhraya Timur-Barat; memperkenalkan kebudayaan Melayu Kelantan yang sudah pun menjadi gedung budaya dan seni di samping kejayaan yang telah tercapai setakat ini di berbagai bidang termasuk pembangunan ekonomi dan sosial di Kelantan khususnya dan Malaysia amnya; dan memberi peluang kepada semua lapisan rakyat Kelantan untuk melibatkan diri dalam pembangunan ekonomi yang sangat sesuai pula dengan perkembangan kebudayaan dan keperibadian mereka.

Di dalam perutusannya sempena "Perayaan 131 Tahun Terdirinya Bandar Kota Bharu" yang berlangsung dari 16 hingga 31 Julai 1975 Masihi, YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Haji Abdul Razak bin Hussein, berkata:

"Sejarah Kota Bharu ini memang penuh dengan peristiwa suka dan duka. Bagaimanapun kejayaan bandar Kota Bharu berkembang maju selama itu menunjukkan kebijaksanaan nenek moyang kita memilih tapak bagi dijadikan 'growth pole' atau pusat kemajuan sesuatu daerah. Kita patut berbangga dan merasa terhutang budi atas jasa dan pandangan jauh peneroka-peneroka di zaman silam yang telah mewariskan bandar yang indah ini."