Sebelum tahun 1921 Masihi Masjid Besar Kota Bharu ialah bangunan kayu yang didirikan di zaman pemerintahan Sultan Muhamad II atau Sultan Mulut Merah (1839-1886 Masihi). Pada tahun 1921 Masihi pembinaan bangunan masjid daripada batu dimulakan bagi menggantikan bangunan kayu yang sudah tua usianya itu. Masjid batu yang baharu itu siap dibina dan digunakan hanya pada bulan November 1931 Masihi. Masjid baharu itu dibina dengan belanja sebanyak $372,395. Lantai dewan sembahyang dibina daripada batu marmar buatan itali (Italian marbles) dan luas dewan itu ialah 116 x 62 kaki. Dewan itu dikelilingi oleh serambi berbentuk tiga persegi seluas 20 kaki lebar dan 25 kaki persegi. Masjid itu mempunyai empat menara tiap-tiap satu tingginya 70 kaki. Seluruh bangunan masjid itu dilengkapi dengan api elektrik. Kini masjid itu dinamakan Masjid Muhammadi.