Pilihan Makanan Di Kelantan - Lain Dari Yang Lain
Kelantan Darul Naim bukan sahaja terkenal dengan budaya pelbagai tetapi juga tersohor dengan keunikan makanannya. Sejak zaman berzaman, keaslian makanan negeri tersohor ini sentiasa dikekalkan keasliannya. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Itulah antara gambaran keaslian makanan negeri Kelantan. Hingga ke hari ini, masih kedapatan makanan-makanan yang dicipta oleh nenek moyang zaman dahulu. Belum cuba, belum tahu. Maka sewajarnya bagi sesiapa yang berkunjung ke Kelantan, jangan lupa untuk mencuba setiap makanan tradisi turun temurun ini. Keenakkannya, pasti menjadi kenangan dan apa yang paling pasti, sekali cuba pasti inginkan lagi. Antaranya ialah nasi kerabu, nasi berlauk, nasi tupang, nasi kukus, nasi kak wok, laksam, solok lada, sambal daging, serunding, budu, ayam percik, jala mas, butir nangka, tepung pelita dan lain-lain lagi.

Terdapat beberapa restoran-restoran yang sering menjadi destinasi kepada pengunjung yang datang di Kota Bharu. Ini kerana di restoran-restoran ini mereka akan dapat menikmati pelbagai aneka jenis makanan dan kuih samada tradisional dan moden. Restoran-restoran tersebut ialah Restoran Yati Ayam Percik, Restoran Manisnya Madu, Restoran Maksu Nab, Syam Restoran, Restoran Nasi Ulam, Restoran D'Village dan lain-lain lagi.